• Stadium Runtuh...MB Tiada Kuasa .....


    Majlis Permuafakatan Negeri Terengganu (MAMPAT) berasa sangat dukacita apabila membaca kenyataan akhbar yang dibuat oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam yang melahirkan perasaan dukacita kerana kelewatan kerja-kerja pembersihan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA)yang telah setahun runtuh.

    Mengimbau kembali kenyataan akhbar yang dibuat oleh Datuk MB pada bulan Mac 2010, di mana beliau pernah dengan bangganya berkata, kerja-kerja pembersihan akan dilakukan dalam tempoh seminggu. Namun sehingga kini ianya gagal dicapai. Apatah lagi dengan kenyataan terbaru yang dibuat oleh Datuk MB di mana beliau berkata, beliau kecewa kerana kerja-kerja pembersihan gagal dilakukan dan beliau tiada kuasa memastikan ianya dilaksanakan dan menyalahkan JKR di atas kelewatan kerja-kerja tersebut.

    Justeru, MAMPAT ingin menyatakan kekesalan diatas sikap berbolak balik Datuk MB di mana pada suatu ketika dengan bongkaknya Datuk MB menyatakan "segala masalah" akan selesai segera tetapi pada suatu masa yang lain pula Datuk MB menyalahkan orang lain diatas kegagalan bahkan menyatakan beliau pula tiada kuasa.

    MAMPAT merasakan kekesalan diatas kenyataan yang dianggap kurang cerdik oleh seorang Menteri Besar. Persoalannya, apakah seorang Menteri Besar (BN) tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan kerja-kerja kepada pihak JKR ? Kita faham sekiranya MB adalah berlawanan dengan kerajaan Pusat, mungkin ianya agak sukar, tetapi MB Terengganu adalah MB yang selari dengan Kerajaan Pusat. Janganlah bagi nampak "koman' sangat menteri Besar Terengganu, seolah-olah tiada kuasa. Menteri Besar sepatutnya boleh memanggil Pengarah JKR negeri dan meminta mereka menyelesaikan segera kerja-kerja pembersihan tersebut.

    MAMPAT juga difahamkan sebelum ini, kerja-kerja pembersihan telah dianugerahkan kepada kontraktor asal yang membina SSMZA tetapi kini Datuk MB menyatakan pula bahawa semua tender dilakukan oleh JKR. Sekiranya tender kerja-kerja pembersihan diberikan kepada kontraktor asal, MAMPAT yakin itulah punca kepada kelewatan tersebut kerana MAMPAT dimaklumkan kontraktor yang tersebut "tengah sibuk" menguruskan kerja-kerja baru iaitu menyiapkan Istana Negara di Kuala Lumpur.

    Akhir sekali, MAMPAT berharap biarlah kerja-kerja perbersihan dan pembinaan semula SSMZA dilakukan dengan segera TETAPI telus dan tidak ada yang tersembunyi dan akhirnya saling menyalahkan antara satu sama lain diatas kegagalan perjalanan kerja-kerja yang sepatutnya telah berjalan.

    " Dari Rakyat Kepada Rakyat "

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT