• Ceramah Ku Li Isu Royalti di Kelantan









    Sambil-sambil dengar caramah Tg Razaliegh, bacakan juga teks ucapan beliau.....

    CATATAN UCAPAN YBM TG RAZALEIGH TG HAMZAH
    CERAMAH PERDANA ROYALTI

    GERAKAN KEMBALIKAN ROYALTI RAKYAT (GEGAR)

    28 JANUARI 2010
    STADIUM SULTAN MUHAMMAD IV



    Bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillahi rabbil ‘alamain, wassolatu wassalamu ‘ala asyrafil anbia I wal mursalin, wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Segala puji bagi Allah, Tuhan Seru sekelian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan sahabat baginda.
    YAB Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan, YAB Datuk Haji Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Ust. Haji Nasaruddin Daud, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, YB Datuk Hj Husam bin Musa, Pengerusi Jawatankuasa Khas Menuntut Royalti Kelantan, Yang Berhormat - Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Ahli - Ahli Yang Berhormat, Yang Berusaha Dr Abd Halim bin Yusof, Pengerusi Bersama dengan Cikgu Fauzi bin Haji Abu Samah, Pengerusi GEGAR, pemimpin-pemimpin politik dari semua Parti-Parti Politik di semua peringkat, Ketua-Ketua Jabatan daripada dalam Negeri dan Persekutuan, pemimpin-pemimpin NGO, pemimpin-pemimpin masyarakat, saudara –saudari yang saya hormati sekelian. Assalamualaikum wbt.
    Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah Taala kerana dengan izin-Nya dapat kita berhimpun di Stadium Sultan Muhammad ke iv pada malam yang mulia ini. Saya terlebih dahulu suka merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa GEGAR kerana bermurah hati menjemput saya turut sama dalam majlis ini. Saya berdiri di sini semata-mata atas prinsip. Saya tidak mewakili sesiapa saya hanya mewakili diri saya. Saya hadir pada malam ini dengan penuh sedar dan insaf bahawa ada orang yang berkenan saya datang, ada orang yang tak suka saya datang. Jawabnya senang, pedulikan dialah.
    Saya datang atas prinsip. Mula-mula saya terima jemputan daripada YB Datuk Husam, dia kata “Kalau boleh Ku, marilah balik ke Kota Bharu, buat penjelasan kepada orang-orang di Kelantan”. Ambo jawab “insyaAllah bolehlah ambo balik”, tetapi beginilah disebabkan ada yang suka dan ada yang tak suka ini, ambo pun berhubung balik dengan Datuk Husam, kalau boleh biarlah puak-puak NGO yang menganjurkan perhimpunan ini, tidaklah berasa kekok ambo nak berjumpa pun. Jadi mujurlah GEGAR, Jawatankuasa GEGAR terdiri daripada 52 Pertubuhan NGO, gabungan daripada Negeri Kelantan dan Terengganu kerana nak menganjurkan perjumpaan kita pada malam ini. Ambo kata baguslah, kalau boleh jemput semua, tak kira kaum, tak kira parti politik, tak kira siapa, asalkan mereka ingin dengar perkara yang sebenar, maka silakanlah ke perjumpaan kita. Jadi ambo marilah malam ini. Ambo mari, ambo merasa berbesar hati dapat berhadapan dengan adik-kakak dan ambo rasa bertuah kerana ambo boleh berjumpa mata dengan adik kakok dalam satu perhimpunan yang luar biasa barangkali. Datuk Husam kata inilah perhimpunan yang paling besar yang pernah diadakan di Stadium. Ambo ni tak berapa ingat dah, dah tua ratek. Dulu ambo mari dah berucap di Stadium ini sekali dengan Tuk Guru Nik Aziz dalam tahun 1995, dalam kempen Pilihan Raya Umum tahun 1995. Lepas daripada itu ambo tak pernah lagi datang ke stadium ini. Dan Alhamdulillah pada malam ini ramai rakyat yang nak datang mendengar cerita benar. Ambo tak pernah belawok dan tak akan belawok. Ambo nak cerita perkara yang benar, cerita yang adik kakok boleh kilas buat balik ke rumah.
    Sebelum ambo balik ke Kota Bharu ini, ambo kebetulan ado di Singapura, lebih kurang 3 minggu yang dulu, pergi ziarah Tuanku kita. Masa ambo ziarah Tuanku, ambo beritahu kepada Tuanku, rakyat Kelantan suruh ambo balik ke Kelantan, suruh ambo bercakap bersabit dengan Petronas. Sebenarnya perkara ini sepatutnya ambo bercakap 36 tahun yang dulu. Sebab Petronas ditubuhkan 36 tahun yang dulu, tetapi sekarang ni heboh berkaitan dengan minyak ini, mungkin rakyat Kelantan turun minyak. Ambo tak tahulah. Apabila ambo sebut begitu kepada Tuanku, Tuanku tersenyum gembira dan Tuanku angguk, maknanya bersetuju. Ambo balik, berjumpa dengan rakyat Kelantan nak jelaskan bersabit dengan hal minyak. Ambo kato Tuanku, berkat Daulat Tuanku, bersempena pula dengan berkat Daulat Rakyat Negeri Kelantan, insya-Allah Kelantan maju dengan duit minyak.
    Ambo balik kebetulan ambo dijemput bersama-sama dengan Pemangku Raja di Kuala Betis, Gua Musang di kawasan ambo, sembahyang Jumaat disana, ambo pun bagitahu kepada Pemangku Raja. Pemangku Raja kata “Bagus tu, bagitahu betul-betul”. Saya tiada apa untuk belawok. Sebab ambo yang mula-mula terlibat dalam perkara ini, kalaulah diizinkan untuk ambo cakap begitu. Perkara yang betul.
    Tun Razak panggil ambo satu petang, kata beliau “kita ada minyak, tetapi minyak kita tak teratur, tiada sesiapa yang jaga, tiada sesiapa yang kawal. Jadi baik kalau kita buat satu badan supaya kita boleh menggunakan minyak ini, dan kita boleh menggunakan untuk pembangunan Negara, untuk rakyat jelata sekelian”.
    Ambo kata bukan senang untuk menguruskan soal minyak ini sebab Kerajaan British dulu semasa mereka menjajah Negara ini, mereka telah memberikan minyak ini kepada syarikat orang putih. Bukan senang untuk ambil balik. Macam Indonesia kena memiliknegarakan minyak di Indonesia. Tun Razak beritahu saya, dia tak tahulah macam mana nak buat, tapi mungkin kena buat undang-undang. Tinggal lagi kita tiada duit untuk bayar ganti rugi, jadi kita tak boleh memiliknegarakan minyak ini. Ambo kata kalau begitu bukan senang lah. Kalau kita tak boleh memiliknegara, macamana kita nak kuasai minyak kepunyaan orang. Sebab ambo tengok perjanjian minyak yang melibatkan Kerajaan British dan Shell, selagi ada bulan dan bintang minyak ini jadi milik Syarikat Shell. Jadi macamana nak ambil balik daripada Syarikat Shell ini, dia ni bukan syarikat kecil-kecil main, Shell adalah syarikat gergasi. Di antara yang terbesar dalam dunia kita ini.
    Fikir punya fikir terjumpa satu artikel “The Memorandum Of Association syarikat orang putih“. Dalam mana dia sebut dengan penggunaan Management Syer, boleh kita beli milik syarikat lain. Walaupun satu syer boleh beri kuasa seolah-olah 51 %. Ambo pun berbincang dengan arwah Raja Mohar dan Arwah Tun Ismail dengan Tun Salleh Abas. Boleh atau tidak kita masukkan ini dalam undang-undang yang akan dibahaskan di Parlimen. Kerana kalau kita kita tak ugut sikit-sikit, mereka tidak takut kepada kita.
    Akhirnya bersetuju, kita masukkan dalam rang Undang-Undang yang nak dibentangkan kepada Kabinet. Ambo rasa Kabinet pun tak faham apa-apa, pakai lulus begitu sahaja. Ambo dok tunggu di luar bilik Kabinet, Tun Razak keluar daripada Mesyuarat Kabinet pukul 1, dia kata dah lulus. Ambo kata terima kasih banyak-banyak lah Tun, ambo nak panggil syarikat minyak ini. Sebab kita tidak ada apa-apa maklumat pun dengan Kerajaan kita berkaitan dengan perusahaan minyak di Negara kita ini. Sehelai kertas pun yang berkaitan dengan minyak pun tiada. Jadi ambo jemputlah syarikat minyak Shell, syarikat Esso, datang berjumpa dengan puak-puak ambo. Tak jawab pun surat untuk respon datang atau tidak. Akhirnya ambo buat press conference, beritahu kepada press barangkali Petronas kena beli satu saham daripada syarikat-syarikat minyak ini. Bererti kalau kita beli satu saham, mengguna kuasa undang-undang yang baru dilulus di bawah Petroleum Development Act ini, barangkali kita akan menguasai syarikat-syarikat minyak ini.
    Tak sampai dua hari mereka mintak untuk berjumpa dengan ambo. Barulah kita boleh berunding. Dan selepas berunding barulah kita dapat segala maklumat mengenai minyak di Negara kita yang sebelum ini tidak ada di tangan kita. Kebetulan juga pada masa itu Tun Rahman Yaakob, pada masa itu dia belum Tun lagi, pada masa itu dia Ketua Menteri Sarawak, dia mendakwa Kerajaan Pusat. Dakwaan dia kerana dia mendakwa minyak yang berada di Laut China Selatan dekat dengan Sarawak dia kata tak patut diberikan kepada Kerajaan Persekutuan. Ini milik Sarawak. Tun Razak panggil ambo pulak. Dia kata “Ku cuba pergi selesai perkara ini”.
    Ambo pergi berjumpa dengan Tun Rahman, ajak beliau datang ke Kuala Lumpur selepas berjumpa di Kuching. Berunding sana-sini. Berminggu-minggu juga untuk pujuk orang ini. Rupa-rupanya Tun Rahman orang yang berfikiran jauh. Dia kata baiklah. Dia akan cadangkan formula yang barangkali akan mengejutkan orang ramai. Dia nak cadangkan supaya – Sarawak mengambil 5 % daripada hasil minyak yang diambil daripada perairan Sarawak , dan Kerajaan Pusat ambil 5%. Baki itu biarlah Petronas guna untuk cari gali minyak di seluruh dunia. Selebihnya dia kata kalau ada baki lagi bolehlah dia kata, salurkan ke Negeri Sarawak untuk bangunkan negeri, kerana dia kata Sarawak ini kurang maju, betul-betul mundur. Tiada jalan malah jambatan untuk menyeberangi sungai pun tiada. Dia kata tolonglah. Dan satu syarat lagi dia kata, ambo kena kekal jadi Pengerusi Petronas. Ambo kata ambo bukan nak cari kerja, tetapi mari berunding sahaja. Dia kata syarat ini kerana dia percaya kat ambo.
    Ambo balik berjumpa dengan Tun Razak, beritahu kepada Tun Razak, Rahman ini nampaknya bukan berfikir mengenai Sarawak sangat tetapi memikirkan bagaimana untuk mengukuhkan Negeri-Negeri dalam Persekutuan. Kerana Malaysia baru ditubuhkan dalam tahun 1963, ini tahun 1974, sewaktu perundingan diadakan. Dia kata dalam masa 11 tahun ini kita tak berapa sepakat. Maka kata beliau lagi, biarlah soal duit ini kita kemudiankan sedikit, kita utamakan kepentingan Negara.
    Ambo beritahu kepada Tun Razak, kalaulah cadangan yang diberikan oleh Tun Rahman ini boleh diterima ambo cadangkan kita pakai untuk semua negeri di Semenanjung. Maksudnya negeri menyerahkan semua hasil minyak kepada Petronas termasuk kerajaan Pusat menyerahkan segala hak dia mengenai minyak kepada Petronas. Jadi tiap-tiap negeri dapat 5% kalau ada minyak dekat dengan Negeri berkenaan. Dan 5% kepada Kerajaan Pusat tak kira di mana sahaja yang dijumpai. Sebab itulah kita buat Vesting Deed Agreement di bawah Akta Petroleum. Kalau berjumpa minyak di luar pantai pun maka negeri berkenaan berhak untuk menerima. Itu sebab Sarawak sehingga hari ini menerima 5%.
    Sabah pada mulanya tak mahu terlibat dalam perjanjian ini dengan Petronas, tetapi akhirnya apabila Parti Berjaya berkuasa di Sabah, Parti Berjaya akhirnya bersetuju mengadakan perjanjian dengan Petronas atas dasar yang sama. Dan itulah agreement yang ambo sign dengan Allahyarham Datuk Mohd Nasir di Kelantan ini. Kalaulah Sarawak berhak mendapat 5%, maka Kelantan juga pasti berhak mendapat 5%. Dan apabila ambo berjumpa dengan Tun Razak, membawa cadangan ini ambo kata, kita cadangkan ini kerana ada kemungkinan minyak akan dijumpai di luar Pantai Terengganu dan luar Pantai Kelantan kerana kita tengok seismik study ada kesan-kesan yang menunujukkan bahawa ada minyak dan gas di kawasan perairan ini. Dan atas dasar yang kita persetujui dengan Tun Rahman Yaakob dan kita persetujui untuk negeri-negeri di Semenanjung, maka dengan sendirinya kalau ada minyak di luar pantai mana-mana negeri, maka negeri berkenaan akan mendapat hasil daripada minyak tadi sebanyak 5%.
    Ada orang beritahu Kelantan barangkali tidak berhak. Betullah, kalau tidak ada minyak memang tidak berhak. Dan dia kata kawasan yang bertindih itu bukan berada dalam Kelantan. Ambo teropong-teropong tengok ke bulan tiada pun kawasan Puteri Bulan. Kawasan ini sebenarnya ada dekat Kelantan. Di Selatan Siam, utara Malaysia . Negeri yang paling ke utara di pantai Timur ini Kelantanlah. Bukankah begitu? Kalau tanya budak-budak darjah 6 pun tahu yang ini. Tak perlu belajar tinggi-tinggi untuk tahu di mana kedudukan Kelantan ni.
    Tapi ambo nok beritahu sejarah sedikit, dalam akhir tahun 50-an, 60-an, syarikat Esso ada buat permohonan untuk buat cari gali minyak di luar pantai Negeri Kelantan dekat dengan Terengganu, sebelah utara Terengganu, tetapi berada dalam kawasan Kelantan. Dia bayar RM 5 juta kepada kerajaan Pusat sebagai signature bonus dia panggil. Tujuannya dengan bayaran RM 5 juta dia bolehlah mencarigali minyak. Pada masa itu iaitu pada tahun 50-an, 60-an, harga minyak ialah sebanyak USD 2.30 satu tong. Tetapi kos untuk mencari satu tong minyak ialah sebanyak USD 7.50. Oleh kerana mereka sudah tidak mampu mencari gali minyak dengan harga yang tinggi sedangkan harga minyak rendah di pasaran dunia, maka dia serah balik kawasan itu. Dalam bahasa inggeris disebut “relinquished” kawasan itu kepada kita.
    Tetapi malangnya kita cuai sikit, kerana kita sepatutnya daftar dengan pejabat di Geneva di bawah peraturan Law of the Sea Convention, iaitu mengikut peraturan antarabangsa tetapi kita tak buat begitu. Kebetulan Syarikat Shell Pectant buat permohonan kepada kerajan Thailand di Bangkok, untuk mengadakan cari gali di kawasan tersebut termasuk sedikit kawasan di Teluk Siam. Pihak Thailand mempertimbangkan permohonan daripada Shell Pectant dari Huston. Pada masa itu kita tengah sibuk dengan pengganas komunis. Arwah Ghazali Shafei dia report kepada Tun Hussein Onn, sebagai Perdana Menteri semasa itu dia kata “kita perlu dapatkan kerjasama Thailand untuk mengekang kemaraan komunis di Betong dekat dengan Grik dan Kroh kerana mereka tengah mengganas, banyak rakyat yang terbunuh dan ramai anggota keselamatan cedera, malah ada yang meninggal kerana terkena jerangkap samar yang dipasang dengan banyak di sebelah utara Perak”.
    Jadi apabila berunding dengan Perdana Menteri Thailand, Sriansap pada masa itu, maka kata Sriansap apa kata kawasan bertindih berhampiran Kelantan, ini disebut-sebut kawasan bertindih, inilah dia. Jadi Tun Hussein nak selesaikan berkaitan dengan komunis ini jadi nak kepada bantuan Thailand supaya mereka dapat menghantar batalion tentera Thailand untuk mengepung komunis di Betong. Lansung bersetuju. Kalau begitu kita tak payah berbinncang banyak, kita terus bahagi dua mengenai kawasan yang dipertikaikan ini, yang dikatakan kawasan bertindih. Sebenarnya tidak bertindih, tetapi kerana kita lewat daftar mengenai claim kita berkenaan kawasan ini, kerana kawasan ini kita pernah bagi sebagai konsesi kepada syarikat Esso dalam tahun 50-an, 60-an.
    Jadi ambo menerangkan hal ini semata-mata untuk memberitahu kepada adik-kakak yang berada disini bahawa tiada perkara yang kita ingin pertikaikan. Bertindih atau tidak, JDA atau tidak, kalau ada minyak tetap Kelantan berhak untuk dapat. Ini mengikut undang-undang yang diluluskan di parlimen dan perjanjian yang dibuat oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri berdasarkan kepada perjanjian yang dibuat antara Sarawak dengan Petronas. Jadi ambo pun berfikir juga, ye lah kita kena berfikir juga perkara macam ini. Kenapa susah sangat, sampai masa nak beri duit kepada Kelantan ini kalau ada minyak mengikut agreement, maka berilah wajib kena bagi. Tetapi Sabah pernah jatuh ke tangan pembangkang, semasa PBS memerintah di sana, di bawah Jo Pairin sebagai Ketua Menteri. Petronas bayar juga 5%. Lansung tak timbul untuk bayar wang ehsan. Macamana nak sebut, ehsan ya?
    Sampai ke Kelantan, timbul soal Wang Ehsan. Siapa yang memberikan pandangan ini, saya pun tak tahu. Ambo rasa nasihat ini tak berapa betul. Terengganu sehingga hari ini belum selesai-selesai lagi. Bermula tahun 2000 sehingga sekarang belum juga selesai. Walhal Terengganu berhak mendapat bayaran wang tunai ini. Ini masalah ini bukan masalah kecik. Ini masalah agreement yang dibuat di bawah akta yang diperakui di Parlimen, kalau satu agreement yang kita buat, yang kita akui sebagai sah, sebab itu kita bayar kepada Sarawak, yang kita bayar kepada Sabah terus menerus. Kenapa untuk Negeri Kelantan kita tidak boleh bayar, kalau betul-betul ada hasil minyak? Betul atau tidak?
    Soalnya kita berhubung dengan dunia, kita nak tarik supaya pelabur-pelabur datang melabur di Negara kita. Supaya dapat memindahkan teknologi, memberikan pekerjaan kepada rakyat kita dan menimbulkan pelaburan sampingan kepada rakyat dan boleh membuka pasaran kepada dunia untuk barang-barang keluaran kilang yang dibina daripada duit pelaburan tadi. Kalaulah kita tidak menghormati perjanjian yang dibuat yang kita pada satu ketika akui sebagai sah, bagaimana mereka ini nak datang melabur ke sini? Takut kalau –kalau agreement itu tidak laku pula pada masa-masa yang akan datang kerana kita tidak hormat. Sedangkan perjanjian yang dibuat dalam Negara sesama kita pun tidak dihormati. Kita pun ada cadangan untuk meminjam wang daripada bank-bank antarabangsa untuk bantu kita memajukan Negara kita, tetapi kalaulah satu agreement seperti yang sedang berlaku ini tidak boleh dihormati, bagaimana bank-bank itu nak melayan permohonan kita. Kita pun atas nama Petronas ada juga perjanjian dengan negeri-negeri di luar Negara seperti Sudan, Iran dan sebagainya kerana kita mencarigali minyak di sana. Dan kita melabur juga di negeri-negeri seperti Kemboja, Vietnam, Filipina dan lain-lain. Kalaulah agreement ini tidak dihormati, kemungkinan orang lain juga tidak akan menghormati perjanjian kita. Apa nak jadi kepada Negara kita?
    Soalnya adik-kakak, Kelantan ini besar. Tetapi besar pun kita tidak mempunyai kekuatan. Kalau ada kekuatan pun kerana kita dalam Persekutuan. Persekutuan Tanah Melayu yang kita tubuh dalam tahun 1948, besar. Jadi Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Berdasarkan kepada Persekutuan Malaysia tadilah Tun Rahman Yaakob fikir mesti kita utamakan kerana kita nak mengukuhkan kedudukan kita. Ada orang kata kita kena sokong 1 Malaysia, bagus kita sokong. Tetapi bagaimana pula dengan Kelantan ini. Kerajaan Pusat tidak kuat melainkan dengan sokongan daripada Negeri-Negeri yang bersekutu dalam pakatan tadi. Betul tak?
    Atas ingatan itu lah, Tun Rahman Yaakob kata kita buat formula ini sebagai perjanjian mengenai minyak untuk mengukuhkan pakatan kita dalam Persekutuan Malaysia. Jadi tidak boleh kalau kita nak pandang serong kepada mana-mana negeri. Dan kalau kita nak memajukan Negara kita samada dengan duit minyak, ataupun duit daripada punca-punca yang lain, kita perlu guna sebaik-baik yang mungkin sebab kalau Kelantan tak maju, pincang Malaysia. Kalau kita nak maju, maka semua sekali perlu dimajukan. Ambo sebagai anak Kelantan nak tengok Pantai Timur ini maju, dah lama sangat. Pantai Timur maju, Sabah maju, Sarawak maju. Tak usah kiralah, kalau maju begitu seluruh Malaysia akan maju.
    Baru-baru ini banyak orang melarang ambo untuk jadi Pengerusi Kaukus Minyak, bukan untuk jadi saudagar minyak. Cuma nak jadi Pengerusi untuk kita berdialog, untuk bercakap-cakap sesama kita untuk kita bercakap mengenai hasil minyak supaya kita boleh bantu Ahli-Ahli Parlimen, ahli-ahli politik yang lain bagaimana hasil minyak ini boleh diguna untuk membantu faedah rakyat. Tetapi ada orang kata, jaga-jaga Ku Li kalau jadi Pengerusi Kaukus ini, ambo jawab sebagai ambo sebut pada awal-awal tadi, pedulikan dia. Sebab ambo sekarang ini sedang dalam proses menubuhkan kaukus ini semata-mata bukan untuk minyak kerana minyak ini tidak akan kekal lama. Kalau kita gali setiap hari, dengan jumlah yang banyak dikeluarkan. Barangkali satu hari habislah minyak ini. Ambo nak fikir dengan ahli-ahli parlimen yang lain yang boleh memberikan sumbangan ambo fikir patut kita kaji semula kedudukan kita antara Negeri-Negeri dalam Persekutuan. Kita semua pembayar cukai, tetapi banyak hasil dipungut oleh Kerajaan Pusat, pembangunan kita walau bagaimanapun perlu ditanggung oleh agensi-agensi berkenaan dan kerajaan Negeri. Tetapi kalaulah kerajaan Negeri kering khoteh bagaimana nak tanggung?
    Zaman ini ialah zaman yang memerlukan kepada pembangunan fizikal. Jadi kalau itulah maksud pembangunan barangkali kita perlu kaji semula apa yang telah kita persetujui pada tahun 1948 dahulu. Mungkin datuk nenek kita dahulu, tak sempat untuk memikirkan apa yang akan berlaku pada tahun 2010 ini. Macam-macam yang berlaku. Molek kalau kita kaji balik, bukan kita nak memaksa sesiapa tetapi kita sebagai wakil rakyat sebagai orang yang mewakili rakyat molek fikir benda ni untuk kepentingan Negara kita, kepentingan diri kita.
    Tadi pun ambo nak, demo ni kata, Ku kalau bercakap tu kena beritahu berapa ribu juta sepatutnya dapat kepada Kelantan. Ambo sendiri pun tak tahu kena tanyo Datuk Husam, dia yang jaga hal ini. Tetapi kira-kira kalau ada RM 2 bilion, boleh bagi RM 2000 sorang kan? Tetapi kalau bagai cara yang ambo sebut ni, habislah duit dalam masa sehari saja pun kan? Kita nak simpan juga untuk anak, cucu, cicit kita pada masa akan datang. Minyak ini pun, yang ada sedikit-sedikit pun kalau nak keluar, nak gali semua sekali, tak akan bertahan lama. Baik kita simpan sebahagian besarnya, supaya generasi yang akan datang boleh mengecapi nikmat daripada hasil. Ni timbul Wang Ehsan pula. Ado juga orang beritahu ambo, Ku mintak peringat kepada orang ramai di Stadium Sultan Muhammad iv, semua orang Kelantan barangkali. Dia kata kita orang Kelantan ini walaupun miskin tetapi bukan peminta sedekah.
    Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum wbt.

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT