• Siarkan laporan penuh bumbung runtuh

    KUALA TERENGGANU 10 Jan. - Arkitek prinsipal Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Senibahri Arkitek, mencadangkan pihak berkuasa menyiarkan laporan penuh berhubung bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM280 juta runtuh di Gong Badak dekat sini pada 2 Jun tahun lalu.

    Pemiliknya, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, selagi laporan penuh tidak dikemukakan, selagi itulah rakyat akan tertanya-tanya tentang pihak manakah yang bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.

    ''Laporan yang disiarkan akhbar baru-baru ini tidak sepenuhnya dan selagi tidak didedahkan kepada umum, selama itulah aspek integriti dipersoalkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Raja Kamarul Bahrin Shah mengulas laporan akhbar Jumaat lalu yang menyebut Kementerian Kerja Raya mengenal pasti tiga punca utama yang menyebabkan berlakunya kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

    Tiga punca itu ialah reka bentuk bahagian bumbung yang tidak mengikut spesifikasi bangunan, kualiti bahan-bahan binaan yang digunakan serta pengawasan yang lemah ketika stadium itu dibina.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, laporan punca kejadian bumbung runtuh itu telah disediakan oleh 10 penyiasat bebas daripada agensi kerajaan dan badan profesional yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR).

    Mengulas lanjut Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, disebabkan pengumuman kurang lengkap mengenainya, ia menimbulkan lebih banyak tanda tanya daripada menjawab isu tersebut.

    Katanya, walaupun menjadi perunding arkitek dan jurutera projek, namun mereka tidak diberikan tanggungjawab di dalam kerja-kerja pengawasan dan pemantauan sepanjang proses pembinaan.

    ''Kami juga tidak dilantik sebagai pegawai penguasa untuk projek tersebut. Kami ingin membuat kenyataan ini demi memenuhi tanggungjawab kami dan memelihara integriti kami sebagai profesional dalam isu pengawasan pembinaan bumbung tersebut," katanya.

    Raja Kamarul Bahrin Shah menambah, pihaknya telah melapor dan menjelaskan peranannya kepada pihak Lembaga Arkitek Malaysia dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Jun tahun lalu.

    Katanya, dengan adanya penjelasan tersebut ia diharap dapat mengelak salah anggapan dan salah faham tentang peranan arkitek yang terbatas di dalam pembinaan projek tersebut.

    Katanya, pihaknya menunggu lapan bulan laporan dan hasil siasatan yang disediakan oleh 10 penyiasat bebas daripada agensi kerajaan dan badan profesional yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR), namun laporan yang disiarkan tidak menyeluruh.

    "Laporan tersebut tidak menunjukkan siapa atau pihak mana yang perlu bertanggungjawab terhadap runtuhan tersebut secara menyeluruh sehingga menyebabkan kami yang tidak sepatutnya terlibat perlu menerima tohmahan dan andaian 'nakal' banyak pihak," katanya.

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT