• Punca bumbung stadium runtuh dikenal pasti





    Laporan sudah dikemukakan kepada Kabinet: Shaziman


    KUALA LUMPUR: Kecacatan reka bentuk, kelemahan kawalan mutu kerja di tapak binaan dan mutu bahan binaan serta hasil kerja yang tidak menepati piawaian, dikenal pasti punca utama keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Terengganu, tahun lalu.

    Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata laporan akhir disediakan Jawatankuasa Penyiasatan bebas itu sudah dikemukakan kepada Kabinet kelmarin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpuas hati dengan hasil siasatan.
    "Kabinet sudah diberi taklimat mengenai punca keruntuhan, termasuk syor Jawatankuasa Penyiasatan mengenai langkah pencegahan bagi mengelak kejadian sama berulang dan cadangan pembinaan semula stadium terbabit.

    "Jemaah menteri juga memutuskan supaya hasil siasatan diserahkan kepada Kerajaan Terengganu dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab.

    "Dengan selesainya siasatan 10 badan profesional ini, Kerajaan Terengganu boleh memulakan kerja pembersihan," katanya selepas lawatan kerja ke laluan lebuh raya Hubungan Kerinchi di sini semalam.

    Dalam kejadian pada 2 Jun tahun lalu, bumbung stadium sepanjang 80 meter daripada keseluruhan 134 meter membabitkan kawasan tempat duduk berbumbung, termasuk pentas diraja di stadium berharga RM280 juta yang baru setahun siap dibina itu, runtuh.

    Susulan itu, Jawatankuasa Penyiasatan yang ditubuhkan Jun tahun lalu dianggotai wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Persatuan Struktur Keluli Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia (BAM), Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

    Mereka diberi kuasa menyoal siasat JKR Terengganu, kontraktor, perunding serta sub kontraktor terbabit dan diberi tempoh enam bulan bagi menyiapkan laporan itu.

    Shaziman berkata, Jawatankuasa Penyiasatan mendapati bumbung stadium yang disiapkan secara tergesa-gesa itu tidak dibina dengan sempurna sehingga berlaku salah jajaran geometri dan menjadi punca keruntuhan struktur ruang kerangka bumbung. - Berita Harian

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT