• Kenyataan Media MAMPAT

    Kenyataan Media
    14 Januari 2010 / Khamis


    Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera

    Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) merasa terpanggil untuk memberikan respon berkaitan Pertama; kenyataan daripada Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah, Pemilik Senibahri Arkitek melalui laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Januari 2010 bertajuk ”Siarkan laporan penuh bumbung runtuh”, dan kedua Kenyataan daripada Y.A.B Dato’ Menteri Besar Terengganu yang dilaporkan oleh laman web Bernama, bertarikh 13 Januari 2010 bertajuk ”Kerajaan Terengganu Akan Dedah Jika Terima Laporan Bumbung Stadium Runtuh”.

    Pertamanya, MAMPAT ingin menyatakan sokongan penuh supaya laporan Jawatankuasa Penyiasatan berkaitan Runtuhan Bumbung Stadium Sultan Mizan disiarkan sepenuhnya. Rakyat Terengganu telah maklum bahawa kos pembinaan Stadium Sultan Mizan melebihi RM 250 juta dan dikatakan antara stadium yang tercanggih. Namun yang menimbulkan persoalan besar dikalangan rakyat adalah bagaimana sebuah Stadium yang dibina dengan kos yang tinggi dan teknologi yang canggih runtuh dalam masa setahun selepas dirasmikan. Persoalan rakyat ini hanya akan terjawab seandainya laporan penuh disiarkan untuk dinilai oleh rakyat. MAMPAT juga bersetuju bahawa pendedahan laporan secara ringkas dengan mempersalahkan semua agensi sebagaimana yang dikemukakan oleh Menteri Kerja Raya hanya akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan tanggapan negatif kepada pihak yang tidak sepatutnya. MAMPAT berharap dengan pendedahan laporan penuh Jawatankuasa Penyiasatan akan dapat menjawab pelbagai persoalan yang timbul di kalangan rakyat Terengganu setelah 6 bulan rakyat Terengganu tertungu-tunggu sepanjang siasatan dijalankan.


    Seterusnya MAMPAT ingin menyatakan sokongan penuh kepada Y.A.B Dato’ Menteri Besar Terengganu atas kesudian Kerajaan Negeri mendedahkan laporan penuh hasil siasatan Jawatankuasa Penyiasatan. MAMPAT menyambut kenyataan ini dengan penuh berbesar hati. Naman begitu MAMPAT mengharapkan agar kenyataan YAB Menteri Besar tidak sekadar menjadi gula-gula politik kepada rakyat. Pendedahan yang telus perlu disiarkan supaya rakyat Terengganu dapat menilai siapa yang bertanggungjawab. MAMPAT juga berharap agar semua pihak dapat mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan mengelakkan daripada mengulangi kesilapan pada masa-masa yang akan datang.

    MAMPAT juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menganugerahkan projek membaik pulih stadium kepada kontraktor yang sama. MAMPAT berpandangan bahawa penganugerahan projek ini adalah tidak munasabah dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat. Ini kerana berdasarkan rekod dan hasil kerja yang lepas dibimbangi kejadian runtuhan yang sama akan berulang. Seandainya penganugerahan ini atas dasar guaranti daripada kontraktor yang lepas, projek ini seharusnya ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor. Namun begitu MAMPAT difahamkan bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 50 juta untuk kerja-kerja pembaikian. Dalam situasi dimana kontraktor asal perlu bertanggungjawab, rakyat melihat tindakan Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan sebagai satu tindakan yang tidak tepat kerana kos baik pulih tidak perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri. Oleh itu, MAMPAT berharap agar kerja-kerja baik pulih dapat diselesaikan secepat mungkin tanpa menimbulkan keresahan di kalangan rakyat. MAMPAT ingin menegaskan bahawa projek baik pulih ini seharusnya dijalankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan dipantau oleh pihak-pihak yang berautoriti dengan rapi.

    Akhirnya MAMPAT mengharapkan agar laporan Jawatankuasa Penyiasatan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu secepat mungkin dan akan didedahkan kepada rakyat Terengganu untuk dinilai dan diadili secara saksama.

    Terengganu Kita, Hak Kita Bersama
    Kembalikan Hak dan Maruah Rakyat Terengganu

    wassalam




    Mohamad Fauzi bin Abu Samah
    Pengerusi

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT