• Batalkan Pendaftaran SIS, JAG dan WAO... BETUL ke ???

    Batal pendaftaran SIS, JAG, WAO

    Oleh SAHBULAH DARWI
    pengarang@utusan.com.my

    JOHOR BAHRU 4 Okt. - Kerajaan disaran membatalkan pendaftaran Sisters In Islam (SIS), Kumpulan Tindakan Bersama Jantina (JAG) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) jika mereka terus mempertikaikan pelaksanaan undang-undang syariah di negara ini.

    Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut (gambar) berkata, langkah tersebut perlu diambil bagi mengelakkan pelbagai implikasi negatif kepada rakyat dan negara jika NGO terbabit masih berdegil.

    "Jika mereka meneruskan agenda untuk memansuhkan Undang-Undang Jenayah Syariah maka tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan untuk selesaikan masalah ini, salah satu caranya ialah membatalkan pendaftaran NGO terbabit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Nooh yang juga bekas Mufti Johor berkata demikian bagi mengulas tindakan SIS, JAG dan WAO yang menuntut kerajaan agar memansuhkan Undang-Undang Jenayah Syariah yang berkuat kuasa di negeri-negeri.

    Tuntutan berkenaan melalui memorandum mereka yang bertajuk Justice For Kartika (Keadilan Untuk Kartika) diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Ogos lalu.

    Ekoran itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Baharom memberi amaran pihak berkaitan agar berhenti mengeluarkan kenyataan sesuka hati mempertikaikan keputusan mahkamah di negara ini.

    Selain itu, pelbagai NGO berorientasikan Islam turut mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap SIS, JAG dan WAO.

    Nooh berkata, tindakan tiga NGO itu jika diteruskan akan menggugat keharmonian kaum, perpaduan rakyat, persaudaraan Islam dan mengguris perasaan, menimbulkan kekeliruan, menjejaskan ketenteraman serta keselamatan awam.

    "Mereka jangan sekali-kali mempertikaikan undang-undang syariah, jangan bercakap lagi soal ini dan jangan campur tangan urusan mahkamah dan kerajaan negeri-negeri.

    "Tuntutan mereka juga mencabar kedaulatan Perlembagaan Persekutuan dan Raja atau Sultan selaku ketua agama bagi negeri-negeri," jelasnya.

    Beliau berkata, ahli-ahli SIS dan mereka yang beragama Islam perlu bertaubat kerana membuat tuntutan berkenaan yang mencabul dan menolak hukum Allah SWT dan tidak percaya kepada al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW.

    "Ini perbuatan derhaka, tidak taat, tidak patuh kepada hukum Allah, hukum Rasul-Nya dan pemerintah ulul-amri," katanya sambil membacakan maksud ayat surah an-Nisa: 59 iaitu: 'Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan ulul-amri (orang-orang yang berkuasa) di kalangan kamu...'

    Nooh berkata, tuntutan tersebut jelas menunjukkan NGO terbabit tidak memahami matlamat, sejarah dan falsafah undang-undang jenayah syariah yang bertujuan antaranya untuk memelihara kepentingan semua pihak dan bukan sekelompok individu.

    "Tambahan pula, si empunya badan telah mengakui hukuman itu menginsafkannya dan reda untuk diambil tindakan sepatutnya jadi kenapa tiga NGO pula hendak pertikai," soalnya.

    Justeru beliau berkata, cara kedua ialah semua NGO berorientasikan Islam perlu bangkit menentang tuntutan melampau tersebut mengikut saluran undang-undang negara.

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT