• Ingatan Tengku Sri Panglima Raja Kepada Kerajaan; Rakyat Mesti Nikmati Pembangunan

    Ucapan Tengku Badrulzaman Merasmikan Sidang DUN
    Kuala Terengganu - Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud mengingatkan kerajaan negeri supaya memastikan pelaksanaan pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat.



    Katanya, kerajaan perlu lebih fleksibel dan boleh berubah apabila keperluan rakyat diambil kira.

    “Konsep pembangunan ini diharap dapat diterapkan kepada semua pihak sama ada kakitangan kerajaan, ahli-ahli politik dan pihak-pihak yang berkepentingan serta rakyat sekalian.

    “Kita berharap pelaksanaan aktiviti, program dan projek mestilah dapat dinikmati secara terus oleh rakyat,” ujarnya semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-12 di sini, hari ini.

    Manakala bagi aktiviti, program atau projek ekonomi pelaksanaannya hendaklah berorientasikan rakyat sama ada penglibatan terus melalui peluang pekerjaan mahupun secara tidak langsung.

    Ini, katanya melalui kaedah chain reaction di mana aktiviti huluan dan hiliran dapat diwujudkan yang akhirnya membawa faedah kepada rakyat.

    Dalam meneruskan agenda pembangunan negeri, keseimbangan di antara pembangunan fizikal perlu diseimbangkan dengan pembangunan spiritual dan penekanan kepada aspek penerapan nilai-nilai murni dan akhlak mulia di kalangan masyarakat negeri ini.

    Dalam memastikan kejayaan agenda pembangunan negeri, kerajaan negeri perlu memantau keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam secara berterusan.

    Semua pihak hendaklah bermuhasabah diri dan perbetulkan niat, persepsi dan cara bekerja masing-masing.

    Jika strategi pengurusan adalah berpaksikan kepada rakyat (people oriented), maka sepatutnya kita mengfokuskan rakyat sebagai tumpuannya.

    Pandangan-pandangan rakyat perlu diberi pertimbangan sewajarnya, kerajaan negeri mestilah lebih terbuka dalam menerima kritikan yang membina.

    Aktiviti dan projek yang hendak dilaksanakan perlulah memberi manfaat segera kepada orang ramai.

    Dalam hal ini, kita ingin mengingatkan semua pihak agar meneruskan amalam hidup secara sederhana dengan membuat perbelanjaan secara berhemah dan mengamalkan sikap berjimat cermat.

    Kerajaan negeri perlu beringat di mana harga minyak yang telah jatuh ke paras USD45 setong akan mengurangkan pendapatan kerajaan melalui royalti minyak.

    Oleh itu, rancanglah perbelanjaan negeri dengan sebaik-baiknya.

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT