• Puisi Kehilangan - Daeng Ramliakil


    Puisi Kehilangan

    Dan langit kosong biru
    Tak dapat dipegang tangan
    Hati jadi pilu penuh selautan pabila mata melihat
    Ragam langit – yang tahu hanya diri
    Hanya yang miliki hati manusiawi.

    Tahulah waktu telah tiba
    Yang dipinjamkan tamat tempoh
    Nyawa pada tubuh, diri di dunia
    Tugasan dan pemilikan keluarga jua harta yang ada
    Tersedar disedarkan
    Oleh penyakit oleh doktor oleh akal
    Oleh mimpi oleh hati, sebenarnya agen-agen Illahi

    Kita diserang jutaan tentera dukacita
    Menceracaki duri dan panah-panah peluru
    Penuh tiap permukaan rasa dan mata
    Helaian kenangan diselak laju
    Satu demi satu kenangan terkumpul
    Dan air mata pun tumpah mengalir hangat laju
    Dada diamuk sebak

    Tapi yang hilang absolute hilang
    Ada sebalik cahaya, melihat penuh tubuh
    Tenang dan sembunyi melihat manusia
    Keluarganya dan manusiawinya mereka
    Mencari dan menjadi saksi
    Penilaian kehadiran diri selama ini
    Dihargaikah. Aduhai kehidupan tetap rahsia
    Mahu sulit mengkaji rahsia Illahi dan tugas-NYA untuk kita

    Al-Fatehah tiap hari untuk yang pulang
    Ditambahi selawat untuk Rasulullah dan doa
    Itulah, itulah cahaya yang sampai kepadanya

    Oleh : Daeng Ramliakil

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT