• SURAT MAMPAT KEPADA RAJA MUDA PERAK

    Rujukan kami : Mampat/KerajaanPerak/09-02
    Rujukan tuan :
    Tarikh : 05 Februari 2009


    Bismillah Al-Rahman Al-Rahim

    MENYEMBAH MENGADAP,
    DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Raja Muda Perak dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.


    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


    Ampun Tuanku,

    MEMOHON PERKENAN BAGI MEMBERIKAN PANDANGAN BERKAITAN ISU SEMASA YANG BERLAKU KE ATAS KERAJAAN PERAK DARUL RIDHUAN.


    AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK HARAP DIAMPUN

    Dengan hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan doa ke hadrat ALLAH Subhanahu Wata’ala, mudah-mudahan Tuanku dan Raja Permaisuri sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraan-NYA.

    AMPUN TUANKU

    2. Izinkan Patik menerangkan kepada Tuanku siapakah Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT). MAMPAT merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan untuk mempertahankan dan membela kebenaran rakyat khususnya di Terengganu. MAMPAT adalah NGO yang berusaha menggerakkan rakyat Terengganu semasa krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu dengan mempertahankan tindakan yang dibuat oleh Sultan Terengganu. MAMPAT telah berjaya menggerakkan hampir 70 000 Rakyat Terengganu menyambut kepulangan Tuanku Sultan Mizan semasa krisis tersebut.


    AMPUN TUANKU,


    3. MAMPAT kekal dengan iltizam untuk mempertahankan Kesultanan Raja-Raja Melayu kerana MAMPAT yakin Kesultanan Raja-raja Melayu adalah benteng terakhir yang mampu mempertahankan Hak dan Maruah Agama Islam dan Bangsa Melayu. MAMPAT yakin, Raja-Raja Melayu akan berlaku adil dan saksama kepada semua Rakyat di bawah naungan Duli Tuanku-Tuanku, tanpa menghiraukan sebarang fahaman politik, sesuai dengan Titah Tuanku baru-baru ini.


    AMPUN TUANKU,


    4. Merujuk kepada apa yang sedang berlaku di Negeri Perak, Adalah besar harapan MAMPAT untuk melihat Tuanku memberikan Pandangan Nasihat kepada Tuanku Sultan Perak untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak samada dari pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Ini adalah kerana Rakyat Perak terdiri daripada 2 kumpulan penyokong samada Pakatan Rakyat atau pun Barisan Nasional, namun kedua-dua pihak tersebut tetap Rakyat di bawah naungan Tuanku. Namun apa yang lebih penting, MAMPAT sangat-sangat berharap Tuanku akan berlaku adil kepada Rakyat Perak bagi menentukan siapakah yang Pemimpin mereka yang akan mentadbir Negeri Perak. Biarlah Rakyat Perak yang menentukannya.


    AMPUN TUANKU

    5. Sebagai Raja yang menjadi tempat rujukan dan harapan Rakyat, adalah besar harapan MAMPAT agar Tuanku memberikan Pandangan Nasihat kepada Tuanku Sultan Perak agar Tuanku Sultan Perak membuat keputusan terbaik agar tiada hati-hati Rakyat Perak yang akan terluka atau terguris, kerana mereka tetap Rakyat di bawah naungan Tuanku. MAMPAT berpandangan adalah lebih baik Tuanku Membubarkan sahaja Dewan Undangan dan membiarkan Rakyat sendiri yang memilih dan menentukan pimpinan mereka. Di sini imej Tuanku sendiri akan di pandang tinggi tanpa hadnya di kalangan Rakyat Perak. Ampun Tuanku, duit boleh dicari tetapi Penghormatan adalah suatu yang diberi. Biarlah Kerajaan Perak terdiri daripada sebuah Kerajaan yang Bermaruah yang sememangnya dipilih oleh Rakyat Perak sendiri. Ampun Tuanku, Sembah Patik harap di Ampun kerana memberikan pandangan hina ini.


    AMPUN TUANKU


    “ KEMBALIKAN HAK DAN MARUAH RAKYAT PERAK“


    Yang menjalankan amanah,


    (MOHAMAD FAUZI BIN ABU SAMAH)
    Pengerusi
    Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT)


    s.k - Fail

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT