• Utusan Online : Terengganu tarik balik saman kerajaan, petronas

    KUALA TERENGGANU 18 Jun - Kerajaan negeri akan menarik balik saman terhadap kerajaan Persekutuan dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) berhubung tuntutan pengembalian royalti minyak yang dibuat tujuh tahun lalu.

    Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan menarik balik saman itu selepas menerima surat rasmi daripada kerajaan Persekutuan berhubung pengembalian semula royalti minyak kepada Terengganu.

    Menurutnya, pengembalian semula wang royalti itu kepada rakyat negeri ini adalah hasil perjuangan kerajaan negeri dan berkat doa semua pihak selama ini.

    ''Sebelum ini kita sentiasa berbincang dengan kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mendapatkan semula royalti minyak dan syukur ia kini menjadi kenyataan.

    'Ia adalah hasil perjuangan kita dan bukannya orang lain...tetapi kita tak beritahu selagi ia tidak diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

    Sabtu lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan sepenuhnya hak pengurusan royalti minyak sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu yang ditarik balik sejak tahun 2000.

    Sebelum ini, Ahmad sendiri pernah mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi membiayai projek-projek pembangunan rakyat.

    Hak pengurusan royalti minyak itu yang dianggarkan sebanyak RM1 bilion setahun ditarik balik pada tahun 2000 ketika pentadbiran Pas.

    Kerajaan Pas pada 8 Mac 2001 menyaman Petronas dan kerajaan Persekutuan untuk menuntut ganti rugi kerana didakwa memungkiri perjanjian dan gagal menjelaskan pembayaran tunai royalti minyak yang dihentikan sejak September 2001.

    Kerajaan negeri ketika itu selaku plaintif memfailkan writ samannya melalui firma guaman Tetuan Tommy Thomas di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Mengikut perjanjian itu, pembayaran tunai hendaklah dibayar dua kali setahun iaitu pada atau sebelum 1 Mac dan 1 September setiap tahun.

    Bagaimanapun Petronas tidak menunaikan kewajipannya membuat pembayaran tunai atau bayaran wang ihsan seperti yang dikatakan mengikut Akta Kemajuan Petroleum dan perjanjian utama dan tambahan.

    Mengulas lanjut Ahmad berkata, kerajaan negeri akan menghantar wakil untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan khususnya Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob berhubung isu pengembalian semula wang royalti dalam tempoh terdekat ini.

    Jelasnya, Menteri Kewangan Kedua itu pernah memaklumkan kepada kerajaan negeri bahawa perbincangan berhubung isu tersebut akan diadakan dalam tempoh dua minggu ini.

    ''Perbincangan ini penting untuk menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan dengan royalti minyak dan wang royalti akan dikembalikan mulai tahun ini.

    ''Selain itu kita juga hendak tahu jumlah wang yang terkumpul dan berbaki kepunyaan kita yang bakal diperolehi kerajaan negeri," katanya.

    Ahmad menambah, yang penting segala wang royalti yang bakal diperolehi akan digunakan untuk faedah rakyat dan memajukan negeri ini.

    Mengenai tuntutan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahukan kerajaan negeri mendapatkan royalti sebanyak 20 peratus, Ahmad berkata, persoalan itu tidak berbangkit sama sekali sebaliknya rakyat harus bersyukur dengan apa yang diperolehi.

    Menurutnya, jumlah royalti lima peratus sudah mencukupi kerana dengan jumlah yang ada ia mampu menjana pendapatan untuk meningkatkan kehidupan rakyat.

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT