• Utusan Online : Royalti minyak dikembali - Terengganu akan dapat semula hak pengurusan lima peratus – PM

    KUALA TERENGGANU 14 Jun – Kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan sepenuhnya hak pengurusan royalti minyak sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu yang ditarik balik sejak tahun 2000.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan keputusan itu berkata, penyerahan semula royalti itu akan dibuat sebaik sahaja perincian mengenai perkara itu termasuk prosedur penyerahan ditetapkan dengan kerajaan Terengganu.

    ‘‘Secara terperincinya, prosedur dan langkah yang akan diambil berhubung pemberian semula royalti minyak ini akan ditetapkan apabila perbincangan dengan kerajaan negeri Terengganu diadakan.

    “Kerajaan Persekutuan akan mula bagi (royalti) sebaik semua telah dipersetujui,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin UMNO Terengganu serta makan tengah hari bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan di sebuah hotel di sini hari ini.

    Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said meminta kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi membiayai projek-projek pembangunan rakyat.

    Hak pengurusan royalti minyak itu yang dianggarkan sebanyak RM1 bilion setahun ditarik balik pada tahun 2000 ketika pentadbiran Pas.

    Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 menggantikan bayaran royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu dengan program wang ihsan.

    Wang itu disalurkan terus melalui projek pembangunan dan bukannya melalui kerajaan negeri apabila Pas memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum 1999.

    Baru-baru ini, Dewan Rakyat diberitahu kerajaan Pusat telah menyalurkan wang ihsan kepada kerajaan Terengganu bagi tempoh tiga tahun sejak Mac 2004 hingga Mac 2007 berjumlah RM7.364 bilion.

    Perdana Menteri berkata, tiada perubahan daripada segi jumlah royalti yang akan dikembalikan iaitu sebanyak lima peratus.

    Abdullah berkata, beliau percaya penyerahan semula wang royalti itu akan membolehkan kerajaan Terengganu mentadbir negeri ini dengan lebih baik.

    Justeru, beliau menasihatkan pentadbiran Ahmad supaya melaksanakan perbelanjaan berhemah untuk persediaan ketika waktu sukar.

    ‘‘Kalau kita sudah ada wang, pandai-pandailah uruskan, kita mesti sentiasa uruskan wang dengan baik kerana kita akan menghadapi pelbagai situasi yang memerlukan perbelanjaan yang kadang-kadang lebih daripada jangkaan.

    ‘‘Tapi kalau duit sudah habis dan kita tidak amalkan perbelanjaan berhemah, maka kita akan hadapi banyak masalah. Oleh itu perbelanjaan dan pentadbiran berhemah mesti menjadi amalan ketika waktu susah atau waktu senang,” ujarnya.

    Sementara itu di Setiu, Ahmad ketika ditemui pemberita, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas keputusan tersebut.

    ‘‘Saya bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Terengganu gembira kerana Perdana Menteri prihatin dengan kehendak rakyat negeri ini,’’ ujarnya.

    Katanya, dengan adanya royalti minyak ini akan membolehkan kerajaan negeri merancang pelbagai pembangunan mengikut keperluan rakyat.

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT