• Sinar Harian : Kerajaan Terengganu tarik balik saman Petronas

    KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengambil keputusan drastik untuk menarik balik saman royalti minyak terhadap Kerajaan Persekutuan dan Petronas yang pernah difailkan sebelum ini, sebaik sahaja negeri ini mendapat surat rasmi daripada Kerajaan Pusat mengenai penyerahan wang royalti tersebut.

    Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, langkah itu adalah seiring dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini yang bersetuju untuk mengembalikan pengurusan wang royalti minyak kepada Terengganu mulai tahun ini.

    “Oleh itu, saman terhadap Kerajaan Pusat dan Petronas akan ditarik balik setelah kita menerima surat rasmi daripada Kerajaan Persekutuan,” ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

    Menurut Ahmad, kerajaan negeri akan menghantar satu rombongan untuk berjumpa dengan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob dalam tempoh dua minggu akan datang bagi mengadakan rundingan lebih lanjut mengenai penyerahan wang royalti minyak.

    Ahmad berkata, dalam pertemuan itu nanti pihaknya juga akan berbincang mengenai jumlah wang royalti petroleum masih terkumpul yang bakal diperoleh oleh Terengganu memandangkan kerajaan negeri mempunyai perancangan tertentu sebagaimana disebut sebelum ini.

    “Selain itu, ada juga perkara lain berbangkit yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu nanti dan kita amat berharap agar perjumpaan itu dapat diadakan secepat mungkin,” katanya.

    Mengulas mengenai resolusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) yang meminta agar pemberian royalti minyak itu dinaikkan dari lima peratus kepada 20 peratus, beliau memberitahu itu hak pertubuhan itu sendiri.

    “Itu hak dia... kita dapat lima peratus ini alhamdulillah.. lima peratus kita dapat ini (royalti) kerana kita berusaha bukan kerana Mampat. Apa yang kita lakukan kerana yakin Pak Lah akan bantu Terengganu... tak perlu bising-bising.

    “Adakah kerana mereka (Mampat) buat resolusi dan konvensyen kita dapat (royalti), kita dapat (royalti) sebelum itu lagi. Apabila dilantik jadi Menteri Besar, saya terus jumpa Pak Lah, dia setuju untuk bawa ke kabinet. Saya pernah kata dulu ia positif,” katanya.

    Ditanya sama ada royalti tersebut akan diberikan kepada rakyat, Menteri Besar berkata, kerajaan perlu memikirkan masa depan melalui bentuk pelaburan jangka masa panjang dan itu adalah salah satu langkah membantu rakyat.

    “Kita perlu fikir masa depan melalui bentuk pelaburan jangka masa panjang kerana kita tidak boleh bertahan dengan pendapatan yang ada. Kerajaan boleh bantu rakyat melalui projek memberi hasil kepada mereka, contoh penanaman padi,” katanya.

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT