• Rakyat Gembira Royalti Minyak Dikembalikan


    Klik Untuk Besarkan Gambar
    (Dari kiri) - Mimi Khairiyah, Md Kamal, Yusoff Taib dan Norikma Che Nazri.

    Oleh: Esah Abdullah dan Suriati Ali Isu royalti minyak yang sebelum ini menjadi teka-teki rakyat Terengganu kini terjawab selepas Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju untuk mengembalikan hak itu kepada Kerajaan Negeri. Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, keseluruhan rakyat Terengganu bersyukur di atas nikmat yang diperoleh dan mengharapkan Kerajaan Negeri menggunakan duit itu secara berhemah dan sebaik mungkin dengan mengutamakan kebajikan rakyat. Seorang penduduk, Cik Zarifah Yusof, 20, dari Batu Enam, Kuala Terengganu, berkata berita yang diumumkan PM adalah satu bonus bagi rakyat Terengganu. Katanya, memang wajar duit royalti minyak itu diperoleh kerana ia merupakan hak Kerajaan Terengganu. “Saya berharap Kerajaan Negeri gunakan duit itu sebaik mungkin dengan mengutamakan golongan yang betul-betul memerlukan terutama mereka berpendapatan rendah,” katanya. Pesara Kerajaan, Encik Muda Abdullah, 50-an, dia sebagai rakyat menyokong sepenuhnya apa yang dilakukan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said yang menuntut supaya royalti minyak dikembalikan. “Isu itu dianggap selesai selepas PM bersetuju untuk mengembalikannya. Oleh itu saya berharap Kerajaan Negeri menggunakan duit itu secara berhemah dan bijaksana. “Projek pembangunan yang tidak menguntungkan rakyat wajar ditangguhkan dahulu dan sebaliknya memberi tumpuan terhadap kebajikan mana-mana penduduk yang masih berada dalam kumpulan miskin,” katanya. Warga Emas, Puan Che Yah Abdullah, 70, ia merupakan satu berita baik untuk semua rakyat Terengganu dan turut mengharapkan yang terbaik daripada Kerajaan Negeri untuk melaksanakannya. “Sudi sekiranya ada bantuan khas atau bulanan hasil royalti itu untuk ibu tunggal dan mereka yang berpendapatan rendah bertujuan menampung keperluan harian yang semakin mendesak,” katanya. Seorang peniaga di Jalan Air Jernih, Kuala Terengganu, Chua Hock Ang, 45, berkata seratus peratus bersetuju dengan apa yang dilakukan pimpinan negeri. “Selepas memperoleh duit royalti itu nanti, Kerajaan Negeri perlu berjimat-cermat dengan membelanjakan duit itu kepada benda yang berfaedah sahaja. Ia penting bagi mengelak kritikan daripada rakyat,” katanya. Mimi Khairiyah Abdullah, 23, berharap kerajaan negeri dapat lakukan sesuatu untuk golongan muda bagi mengalihkan tumpuan mereka kepada perkara yang lebih berfaedah. “Apabila duit royalti itu diterima tentu kerajaan mampu berbelanja lebih demi masa depan genrasi muda hari ini,” katanya. Md. Kamal Ibrahim, 30, turut menyokong pengumuman PM yang akan mengembalikan duit royalti minyak kepada kerajaan Terengganu. “Saya harap negeri ini akan lebih maju dan rakyat turut merasai nikmat kemajuan serta menghargai rezeki anugerah Allah itu kepada kita semua,” katanya. “Alhamdulillah, kerana kerajaan negeri di bawah kepimpinan Dato’ Ahmad dapat mengembalikan duit royalti minyak untuk negeri ini dan biarlah seluruh masyarakat dapat merasai sehingga ke generasi akan datang,” kata Encik Jusof Taib, 70, dari Kampung Wakaf Tengah, Mengabang Telipot. Norikma Che Nazri, 18, turut melahirkan rasa gembira mendengar berita duit royalti minyak dikembalikan kepada Kerajaan Negeri. “Saya harap Kerajaan Negeri memberi perhatian lebih dalam bidang pendidikan kerana hanya dengan bekalan ilmu kita dipandang tinggi oleh masyarakat luar,” katanya. Unit Komunikasi Negeri

    Klik Untuk Besarkan Gambar
    Dari kiri; Chua Hock Ang, Zarifah Yusuf, Muda Abdullah dan Che Yah Abdullah.

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT