• Kenyataan Media Pengerusi Mampat

    Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera


    MAMPAT menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang pemulangan Royalti Minyak Terengganu sebanyak 5% pada 14 Jun lalu.

    Walaupun pemulangan ini agak lewat iaitu setelah lapan (8) tahun dinafikan, Mampat percaya ianya tetap menjadi satu kebaikan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

    Mampat juga berharap perkara yang menjejaskan hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri (semangat Federalisme) seperti penafian Royalti tidak akan berlaku lagi. Ini kerana penafian itu telah menyebabkan banyak perancangan negeri tidak berjalan lancar, dan telah meningkatkan kos pembinaan terhadap beberapa projek yang telah berjalan yang terpaksa diberhentikan.

    Selaku sebuah badan yang menggerakkan Kempen Kembalikan Royalti, Mampat merasakan pemulangan Royalti ini sebagai suatu kejayaan kecil. Ini kerana Konvensyen Royalti Petroleum yang dianjurkan Mampat pada 14 Jun lalu di Terengganu Equestrian Resort (TER) telah memutuskan beberapa Resolusi yang dirasakan amat perlu dan masih relevan diperjuangkan.

    Empat Resolusi Konvensyen Royalti adalah seperti berikut:

    1. Menuntut Kerajaan Pusat supaya mengembalikan semula royalti yang telah dinafikan kepada Negeri Terengganu sebanyak 5% berserta seluruh tunggakan sejak tahun 2000.

    1. Menuntut supaya menaikkan peratus Royalti kepada Negeri Terengganu menjadi 20%.

    1. Mendesak Kerajaan Pusat melantik “investigator auditors” melakukan penyiasatan terhadap bayaran Royalti 5% yang dinafikan kepada Kerajaan Terengganu bermula tahun 2000 sehingga sekarang bagi menjamin ketelusan pengurusan wang rakyat.

    1. Mempastikan bahawa Petronas sebagai sebuah badan perniagaan yang telus dan bertanggungjawab kepada Parlimen dan tidak lagi berlaku penafian sepertimana Royalti Minyak Terengganu.

    Bagi Mampat, pemulangan semula Royalti tidak akan melenyapkan isu di mana hilangnya RM 3 billion wang Rakyat Terengganu seperti laporan Mampat kepada Badan Pencegah Rasuah bulan lalu. Mampat berharap laporan itu diteruskan siasatan dan didedahkan kepada Rakyat Terengganu keputusannya.

    Mampat merasakan orang yang paling gembira dengan pemulangan Royalti adalah YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said. Ini kerana selaku MB yang baru, sudah tentu pelbagai agenda dan perancangan diatur bagi memberi kebaikan kepada rakyat. Mampat berharap MB dapat memanfaatkan Wang Royalti yang telah dikembalikan ini dengan sebaiknya.

    Sejarah di Terengganu memperlihatkan walaupun sebelum ini Terengganu telah lama menikmati Wang Royalti (1978 – 1999), namun kemiskinan tetap membelenggu rakyat sehinggakan Terengganu disebut ”negeri kaya, rakyat miskin” walaupun turut menerima jolokan ”Kuwait Malaysia”.

    Bagi tujuan itu, Mampat suka menyarankan agar ditubuhkan suatu badan yang dapat memantau pengurusan Wang Royalti ini bagi memastikan keberkesanannya membanteras kemiskinan di Terengganu khususnya, seterusnya bagi memastikan Rakyat Terengganu keseluruhannya menikmati nikmat Wang Royalti ini.

    Mampat bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam membantu membasmi kemiskinan dan memajukan Negeri Terengganu. Bagi Mampat, tiada yang lebih menggembirakan rakyat melainkan hidup dalam keadaan selesa di samping suasana yang harmoni di bawah pentadbiran yang bersih dan amanah.


    Terengganu Kita, Hak Kita Bersama

    wassalam



    Mohamad Fauzi bin Abu Samah

    Pengerusi

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT