• SIASAH : Pertembungan Tiga Penjuru di Terengganu


    KUALA TERENGGANU, 12 Mei: Pertembungan tiga penjuru antara kumpulan Umno Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Ahmad Said dan pembangkang yang diketuai PAS nampaknya tidak dapat dielakkan dalam politik Terengganu.

    Yang jelas kedua-dua kumpulan dalam Umno itu cuba mendapat sokongan PAS dalam mempastikan agenda masing-masing berjalan dengan baik.

    Terkini, Badan Perhubungan Umno yang dipimpin Idris sedang berusaha keras untuk mempastikan royalti minyak yang bernilai kira-kira RM1 bilion setahun kekal dibawah kawalan mereka.

    Satu mekanisme sedang dibuat untuk membolehkan ia berjalan dengan lancar.

    Kumpulan penyokong Ahmad Said pula dikatakan sedang menggerakkan bahagian-bahagian Umno untuk membawa usul bagi mendesak Perhubungan Umno Terengganu meminta Pusat menyerahkan balik royalti kepada kerajaan negeri.

    Ahmad Said mendapat sokongan enam dari lapan bahagian Umno di Terengganu iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Setiu.

    Namun Idris agak kuat kerana mendapat sokongan dari Pemuda, Wanita dan Puteri di samping bahagian Besut dan Kuala Terengganu.

    Ahmad Said dalam beberapa kenyataan secara jelas mahukan Kerajaan Pusat menyerahkan royalti minyak itu kepada kerajaan negeri bukan lagi melalui wang ehsan yang ditadbir Pusat.
    Beliau juga sedang berusaha untuk membuat temujanji dengan Perdana Menteri bagi membicangkan perkara itu.

    PAS pula, secara konsisten mahukan royalti minyak yang dirampas kerajaan Pusat dari pentadbirannya di Terengganu dulu mahukan ianya dikembalikan kepada kerajaan negeri.

    Ia bayangkan melalui usulnya di Parlimen dan juga usul di Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.

    Namun usul yang dibawa oleh PAS dalam Dewan Undangan Negeri ditolak oleh Speaker, Datuk Tengku Putra Tengku Awang yang dikira berada dalam kumpulan Ahmad Said. Ia agak menghairankan.

    Sementara itu, Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) akan membuat kempen besar-besaran bagi membolehkan rakyat Terengganu mentadbir kembali royalti minyak.
    Menurut Pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah yang ditemui di pejabatnya, Mampat akan menganjurkan satu konvensyen bagi membincang secara menyeluruh keperluan royalti ini dikembalikan kepada rakyat negeri Terengganu Jun ini.

    Mampat dikatakan mendapat kerjasama dari kerajaan negeri, MPPR dan juga PAS sendiri dalam perjuangannya.

    "Sudah lapan tahun royalti ditarik dari rakyat Terengganu. Mengikut kiraan kami, sudah RM12.285 bilion hasil royalti tidak diserahkan kepada kerajaan negeri (tertunggak) oleh Petronas sejak tahun 2001 walaupun sudah ada perjanjian yang jelas mengenai hal ini," kata Fauzi kepada Siasah.

    Speaker

    Dalam perlantikan Speaker juga berlaku lobi melobi antara dua kumpulan Umno ini. Walaupun hanya satu nama sahaja dicalonkan dalam Dewan Undangan Negeri iaitu Tengku Putera Tengku Awang, namun ada cerita disebaliknya.

    Kumpulan Idris Jusoh dikatakan mahu Datuk Abdul Rahman Bakar, Ketua Umno Bahagian Marang dilantik sebagai Speaker.

    Tidak berapa jelas kenapa tindakan itu diambil sedangkan Abdul Rahman adalah penyokong kumpulan Ahmad Said ekoran rasa tidak senang hati beliau kepada Idris yang tidak memilih beliau sebagai calon dalam pilihan raya lalu.

    Untuk memastikan kemenangannya, orang-orang Idris dikatakan melobi Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu agar Abdul Rahman dilantik, namun MPPR dikatakan telah membuat keputusan untuk menyokong Tengku Putera sebagai calon Speaker.

    Bagi menguatkan sokongan kepada Abdul Rahman juga, wakil-wakil rakyat PAS ditemui oleh penyokong Abdul Rahman. Antara yang ditemui adalah Muhamad Abdul Wahid Endut, Adun PAS dari Wakaf Mempelam.

    Calon Speaker yang lebih dari satu ini telah disahkan sendiri oleh Wahid dalam ucapannya di Dewan Undangan Negeri Terengganu.


    Sumber : http://siasahdaily.blogspot.com/2008/05/pertembungan-tiga-penjuru-di-terengganu.html

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT