• Kenyataan Akhbar: Royalti Petroleum Terengganu

    Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum w.b.t.

    MAMPAT merakamkan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Ahmad Said yang telah memberi respon yang sama dengan pernyataan yang dibuat oleh Majlis Permuafakatan Rakyat yang akan mula diperjuangkan. Pernyataan yang dinaksudkan telah dikeluarkan oleh MAMPAT menerusi blogs kami iaitu di http://mampat.blogspot.com bertarikh 18 April 2008 bersamaan dengan hari Jumaat yang lalu bertajuk Royalti VS Duit Ihsan.

    Untuk makluman semua, jawatankuasa tertinggi MAMPAT telah mengadakan mesyuarat khas di rumah Penaung MAMPAT iaitu di rumah Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Bin Tengku Ismail pada hari Khamis, 17 April 2008. Menerusi mesyuarat tersebut, satu keputusan telah dibuat dimana MAMPAT akan memperjuangkan Hak & Maruah Rakyat Negeri Terengganu.

    Memandangkan isu terbesar yang dihadapi oleh Raykat Terengganu adalah bagaimana untuk mendapatkan kembali ROYALTI, MAMPAT dengan ini ingin mengistiharkan bahawa MAMPAT akan mengetuai gerakan memohon dan menuntut agar dikembalikan semuala Hak & Maruah Rakyat Negeri Terengganu iaitu ROYALTI.

    MAMPAT berpendapat isu ini adalah isu Rakyat dan akan didokongi oleh semua lapisan Rakyat Terengganu. Mengikut maklumat yang kami perolehi, rakyat Sabah dan Sarawak sehingga kini masih menikmati hasil ROYALTI sebanyak 5 % dan dijangkakan, kedua-dua rakyat negeri tersebut akan mendapat tambahan sebanyak 5 % lagi dan ini menjadikan mereka akan mendapat nikmat ROYALTI sebanyak 10 %.

    Yang menjadi persoalannya adalah, KENAPA dan MENGAPA Rakyat Terengganu telah dinafikan Hak kami untuk mendapat dan menikmati rahmat ROYALTI sedangkan di antara Terengganu, Sabah & Sarawak, ketiga-tiganya mempunyai perjanjian yang serupa.

    MAMPAT merasakan adalah tidak keterlaluan bagi kami Rakyat Terengganu untuk menuntut agar dikembalikan ROYALTI kepada kami Rakyat Terengganu sepertimana yang dinikmati di Sabah dan Sarawak. Ini adalah kerana Terengganu merupakan negeri ke 2 termiskin di Malaysia dan Negeri Termiskin di Semenanjung Malaysia sedangkan Terengganu merupakan pengeluar minyak tertinggi Negara ( lebih dari 56 %)

    MAMPAT juga akan mengadakan satu KONVENSYEN yang berkaitan dengannya yang akan membabitkan semua pihak bag menggerakkan Gagasan Rakyat untuk menuntut kembali ROYALTI . Kembalikan Hak & Maruah kami Rakyat Terengganu.

    MAMPAT juga yakin, Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Ahmad Said akan bersama-sama dengan Gelombang Rakyat yang dipimpin oleh MAMPAT, demi menjaga kepentingan Rakyat negeri Terengganu Darul Iman.

    MAMPAT mengalu-alukan mana-mana NGO lain untuk turut bersama kami untuk menggerakkan Gelombang Rakyat ini dalam isu Menuntut agar dikembalikan ROYALTI kepada Rakyat Terengganu. MAMPAT boleh dihubungi melalui talian 013-9238685 iaitu Pengerusi MAMPAT iaitu Cikgu Mohamad Fauzi Bin Hj Abu Samah.

    wassalam


    Mohamad Fauzi Abu Samah
    Pengerusi

0 comments:

Leave a Reply

PERTANYAAN DAN PERBUALAN

VIDEO KAITAN

Photos

JARINGAN MAKLUMAT